INFO ICT

KOMPUTER

Centcom20040818.jpg

Komputer merupakan mesin boleh atur cara yang direka untuk membaca dan melaksanakan urutan sesebuah senarai arahan yang membuatkan ia melakukan operasi aritmetik dan logik berdasarkan angka binari. Pada asasnya, komputer terdiri dari ingatan jangka pendek dan ingatan jangka panjang untuk peyimpanan data dan unit pemprosesan pusat yang berfungsi sebagai unit kawalan serta mengandungi unit logik aritmetik. Aksesori (contohnya papan kekunci, tetikus atau kad grafik) boleh dihubungkan supaya komputer dapat menerima input luar dan memaparkan output. Unit pemproses komputer melaksanakan siri arahan yang membuatkan ia membaca, memanipulasi dan kemudian menyimpan data. Ujian dan arahan loncat membenarkannya untuk bergerak di dalam ruang program dan oleh itu melaksanakan arahan berlainan sebagai fungsi dari kedudukan semasa dari mesin itu atau persekitarannya. Komputer boleh juga bertindak balas terhadap sampukan yang membuatkan ia melaksanakan set arahan tertentu dan kemudian kembali meneruskan apa yang ia sedang buat sebelum sampukan. Komputer elektronik pertama telah dibangunkan pada pertengahan abad ke-20 (1940-1945). Dengan saiz seumpama sebuah bilik besar, ia memerlukan kuasa yang banyak seumpama beberapa ratus komputer. Komputer moden yang berasaskan litar bersepadu adalah berjuta, malah berbilion kali lebih berupaya berbanding komputer-komputer terawal, dan memerlukan ruang yang kecil sahaja. Komputer ringkas adalah cukup kecil untuk dimuatkan dalam peranti mudah alih, dan komputer mudah alih boleh dikuasakan dengan bateri kecil. Komputer peribadi dalam berbagai reka bentuk adalah lambang Era Maklumat dan apa yang kebanyakan orang anggap sebagai "komputer". Pun begitu, komputer terbenam yang didapati dalam pelbagai alat, daripada pemain MP3 sehinggalah jet pejuang dan daripada permainan sehinggalah robot industri adalah yang paling banyak.

MONITOR


Monitor komputer merupakan sejenis peranti persisian output yang berupaya memaparkan aksara dan/atau imej, baik diam atau bergerak, yang dijanakan oleh komputer dan diproseskan oleh kad grafik . Tedapat empat jenis Monitor, iaitu Monitor monokrom, Monitor warna, Monitor segerak berbilang, dan Monitor ELD (Elektro Luminescent Display). Setiap Monitor mempunyai ciri-ciri dan sejarah tersendiri. Mutu Monitor tergantung kepada beberapa faktor. Yang terutama ialah bilangan piksel yang dipaparkan oleh skrinnya; lebih banyak pikselnya, lebih tajamnya teks dan grafik yang dipaparkan. Pada awalnya semua monitor adalah dari jenis tiub sinar katod (CRT) sama seperti yang digunakan pada tiub televisyen, namun kini monitor jenis LCD semakin digemari kerana monitor LCD menggunakan ruang yang kecil, ringan serta lebih menjimatkan tenaga elektrik berbanding monitor CRT.

TETIKUS (MOUSE)



Tetikus ialah peranti input ke komputer yang berfungsi mengawal gerakan penunjuk atau kursor pada skrin paparan. Ia merupakan peranti kecil yang bergerak di atas permukaan keras dan rata. Tetikus ini amat diperlukan terutamanya sekali apabila menggunakan sistem pengendalian tetingkap ( Window ) seperti Microsoft Windows, Linux dll. Tetikus memudahkan seseorang pengguna untuk mengendalikan perisian animasi, grafik dan atur cara penerbitan meja. Apabila tetikus digerakkan, penunjuk pada skrin paparan akan bergerak dalam arah yang sama dan ia akan berubah mengikut lokasi di mana tetikus tersebut berada. Input tetikus juga biasanya digunakan untuk domain atur cara penggunaan yang khusus. Dalam grafik tiga dimensi interaktif, gerakan tetikus seringnya ditukar secara langsung menjadi perubahan orientasi kamera maya. Misalnya, dalam permainan genre penembak diri pertama, pemain biasanya menggunakan tetikus untuk mengawal arah yang dihadap oleh "kepala" pemain maya. Menggerakkan tetikus ke arah atas skrin akan menyebabkan pemain melihat ke atas dan mendedahkan pemandangan di atas kepala pemain. Mouse, nama tetikus dalam bahasa inggeris, dicipta oleh Institut Penyelidikan Stanford dan berasal daripada persamaan model tetikus yang awal (yang memiliki kord pada bahagian belakang peranti yang kelihatan seolah-olah ekor) dengan tikus. Penerbitan perkataan mouse pertama yang diketahui adalah dalam terbitan Computer-Aided Display Control oleh William English pada tahun 1965.

PAPAN KEKUNCI (KEYBOARD)



Papan kekunci merupakan peranti yang selalu digunakan dan paling popular untuk memasukkan data ke dalam komputer. Papan kekunci hari ini pada amnya menggunakan litar bersepadu untuk menjalankan empat fungsi-fungsi tertentu seperti di bawah.
  • menentukan gabungan 1 dan 0,iaitu kod perduaan, untuk dihantar ke CPU bergantung kepada kekunci yang ditekan.
  • bersaling tukar antara kekunci besar dan kekunci kecil.
  • mengulangi kod kekunci jika kekunci tersebut ditekan lama.
  • menyimpan secara sementara atau "menimbal" masukan jika kekunci ditaip terlalu pantas.
Penyusunan papan kekunci yang memberikan piawaian kepada kebanyakan papan kekunci adalah penyusunan QWERTY, yang diberi nama mengikut huruf pertama pada baris atas di sebelah kiri. Ia biasanya mempunyai 101 kekunci. Penyusunan ini dibuat bertujuan untuk melambatkan jurutaip yang mahir, kerana penaipan yang terlalu pantas akan merosakkan kekunci mekanik pada mesin taip. Untuk memperlahankan jurutaip, huruf-huruf yang paling biasa digunakan diletakkan berserak di atas papan kekunci, menyebabkan gabungan yang biasa digunakan sukar dan lambat ditaip. Penyusunan papan kekunci QWERTY ini telah digunakan hampir satu abad yang lalu. Papan kekunci mempunyai pengawal (controller) dan penimbal (buffer) kekunci. Segala yang ditaip akan disimpan dalam penimbal (boleh lebih daripada satu simbol disimpan) dan kemudiannya akan diimbas oleh pemproses komputer setelah menerima isyarat sampukan (interrupt) daripada pengawal kekunci.

PEMBESAR SUARA (SPEAKER)



Pembesar suara merupakan transduser elektroakustik yang menukar isyarat elektrik kepada bunyi. Pembesar suara menolak satu perantaraan menurut denyutan isyarat elektrik, dengan itu menyebabkan gelombang bunyi terhasil dari mana ia boleh diterima oleh telinga. Pembesar suara (dan transduser elektroakustik yang lain) ialah unsur paling banyak kepelbagaian dalam sistem audio moden dan biasanya bertanggungjawab bagi kebanyakan perbezaan bunyi apabila membanding sistem-sistem berlainan. Istilah 'pembesar bunyi' boleh merujuk kepada transduser individu (dikenali sebagai 'pemacu'), atau kepada sistem lengkap yang terdiri daripada kotak pembesar suara yang mengandungi satu atau lebih pemacu. Untuk menghasilkan julat frekuensi yang luas dengan memuaskan, kebanyakan sistem pembesar suara memerlukan lebih dari satu pemacu, terutamanya bagi aras tekanan bunyi atau kejituan tinggi. Pemacu individu digunakan bagi menghasilkan kembali julat frekuensi berlainan. Pemacu-pemacu tersebut dinamakan subwufer (frekuensi amat rendah), wufer (frekuensi rendah), pembesar suara julat sederhana (frekuensi serdahana), twiter (frekuensi tinggi) dan kadang kala supertwiter, optimum bagi frekuensi bunyi tertinggi boleh dengar. Istilah bagi pemacu pembesar suara berbeza bergantung kepada aplikasi. Dalam pembesar suara dua hala, tidak terdapat pemacu "julat-pertengahan", dengan itu tugas menghasilkan kembali bunyi julat pertengahan jatuh kepada wufer dan twiter. Stereo rumah menggunakan julukan "twiter" untuk frekuensi tinggi manakala sistem audio profesional untuk konsert mungkin menggelar pemacu frekuensi tinggi sebagai "HF" atau "high". Apabila pemacu berganda digunakan dalam satu sistem, satu "rangkai penapis", dipanggil lintasan, memisahkan isyarat mendatang kepada julat frekuensi berbeza, dan melencongkan isyarat tersebut ke pemacu yang sewajarnya. Sistem pembesar suara dengan n jalur frekuensi berlainan disebut sebai "pembesar suara n-hala": sistem 2-hala akan mempunyai pembesar suara wufer dan twiter; sistem 3-hala terdiri dari gabungan wufer, julat sederhana dan twiter atau subwufer, wufer dan twiter.

 PENCETAK (PRINTER)

 

Pencetak adalah salah satu peranti keluaran yang berkeupayaan untuk menghasilkan laporan dan dokumen perniagaan. Pencetak telah dibangunkan dan berkebolehan mencetak sehingga 150 hingga lebih 20,000 baris per minit dengan setiap baris mempunyai hingga 150 aksara. Kiraan ringkas menunjukkan kelajuan cetakan maksimum adalah dalam anggaran 50,000 aksara persaat. Pencetak boleh mencetak atas kertas biasa atau atas borang satu atau berbilang salinan yang disediakan khas seperti invois, alat tulis, label, cek, bil dan lain-lain borang bertujuan khas yang digunakan dalam perniagaan dan industri. Ia boleh cetak teks dan grafik dalam bentuk hitam putih atau warna.

PENGIMBAS (SCANNER)
 

Pengimbas imej (image scanner) merupakan peranti yang menukarkan semua teks, lukisan, gambar, objek dan lain-lain ke bentuk digital. Teknologi sistem pengimejan telah mencetuskan industri imej dokumen elektronik (electronic document imaging) dengan menggabungkan penggunaan pengimbas, kamera digital dan lain-lain.